RESOLUSI SEMINAR PEMIKIRAN ISLAM PERINGKAT KEBANGSAAN 2008 23 – 24 Ogos 2008 Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) “MENANGANI PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL DI MALAYSIA” 1. Menyedari bahawa fahaman liberal semakin meresap masuk melanda pemikiran umat Islam di Malaysia dan Nusantara; 2. Menginsafi betapa penting untuk para ulama’ dan cendikiawan Islam menangani pemikiran liberal dikalangan umat Islam; 3. Menyedari bahawa fahaman liberal ini bahaya kepada aqidah dan syariah Islam; Maka seminar ini merumuskan perkara-perkara berikut: 1. Menggesa supaya mengelak daripada penggunaan istilah ISLAM LIBERAL sebaliknya menggunakan istilah GOLONGAN LIBERAL, FAHAMAN LIBERAL atau PEMIKIRAN LIBERAL bagi mengelak kekeliruan terhadap perkataan ISLAM. 2. Memohon pihak kerajaan dan pihak autoriti agama peringkat pusat dan negeri menguatkuasakan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali yang ke 74 tahun 2006 berkenaan dengan Aliran Pemikiran Liberal di Malaysia iaitu “memutuskan Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.” 3. Menggesa semua pihak seperti Institusi Pengajian Tinggi, Institusi Masjid, badan-badan Islam kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) dan yang berkaitan supaya memantapkan kelas-kelas pengajian agama dan seterusnya menyedarkan masyarakat tentang bahaya aliran fahaman liberal. 4. Umat Islam di Malaysia sepatutnya mengambil iktibar dari fahaman liberal yang melanda pemikiran umat Islam di Mesir dan juga di Indonesia yang telah menyebabkan banyak pertelingkahan berlaku dikalangan sesama Muslim. 5. Isu-isu spesifik tentang Islam perlu dibicarakan oleh golongan yang berautoriti, berkeahlian dalam bidang mereka dan MESTI mengelak daripada mengambil pandangan-pandangan serpihan. 6. Umat Islam perlu berhati-hati kerana fahaman liberal ini boleh melanda umat Islam bukan sahaja golongan yang tidak berpengetahuan tetapi ia turut melanda golongan yang mengaji dan berpendidikan tinggi. |